“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat 183).
Frasa “…supaya kamu bertakwa…” daripada ekstrak ayat diatas memberi maksud yang jelas berkenaan hasil kemenangan yang bakal diraih setelah sebulan menjalani tarbiah Ramadhan. Walaupun subjektif maksud dan pengamalan ketakwaan kepada Allah, manusia yang beriman memahami betapa tingkat ketakwaan yang dijana selama menghadapi tarbiah Ramadhan merupakan nikmat yang tidak terucap dek kata-kata.
Selesai Ramadhan, Syawal menjelma. Bulan yang penuh dengan keraian yang diberikan oleh Allah SWT kepada para hambaNya yang tekun beribadat dan disiplin menjaga adab sepanjang Ramadhan.
Di sinilah nilai ketakwaan yang disebutkan seperti dalam Surah Al-Baqarah mampu dinilai. Segala tingkah dan perilaku selepas Ramadhan akan dijadikan pengukur sama ada Ramadhan yang telah dilalui itu suatu kemenangan atau sekadar lelah yang tiada akhir penatnya.
Kemenangan Ramadhan adalah titik tolak kepada permulaan segala kebaikan dunia dan akhirat. Premis ini juga menjadi asas untuk membentuk masyarakat yang prihatin dan peka kepada situasi umat semasa. Jika sepanjang Ramadhan, nasib umat di Afghanistan dibantu dengan segala kelengkapan, maka selepasnya juga, nasib umat ini wajib ditangani dengan kadar yang sesuai.
UMAT ISLAM DAN DUNIA
Umat Islam ketika ini menjadi sebahagian daripada hampir 7 bilion umat manusia. Dengan populasi hampir mencecah 25% daripada keseluruhan umat dunia, maka segala tindakan dan perilaku umat Islam akan mejadi ukuran dan contoh untuk dinilai oleh dunia.
Lihat sahaja kepada Turki, sebuah negara Islam asalnya dan ditukar kepada sekularisme dan akhir-akhir ini kembali mengambil Islam sebagai asas bernegara melaui kemenangan Parti AK; sebuah parti Islam di Turki.Semenjak itu, situasi di Turki mula dicerna oleh masyarakat dunia ekoran keprihatinan Turki untuk terlibat sebagai sebuah negara Eropah yang lazimnya dikuasai oleh kebanyakan negara yang jelas mendukung Islamiphobia secara tidak langsung.
Justeru, Syawal ini merupakan yang pertama buat Abdullah Gul sebagai presiden dan juga pertama kalinya Turki meraikan Syawal dengan seoarang wanita pertama yang bertudung.Walaupun sikap kalangan aristokrat berterusan pesimis terhadap tudung, tetapi ini memberi langkah awal untuk mengembalikan Turki kepada landasan dunia Islam yang sebenar.
Insiden ini juga menjadi asas untuk dunia menilai Islam daripada paradigma Islam yang mutlak bukan daripada andaian para orientalis yang pesong dengan fakta dan data.
Selain itu, isu umat yang berterusan juga sewajarnya kekal diberi perhatian. Isu Darfur yang sudah menjangkau bertahun, Palestin yang sudah menjadi intipati perbincangan masyarakat dunia, kestabilan di Iraq dan kemenangan psikologi Iran di Amerika Syarikat sudah tentu mamapu merencana tindakan baru untuk umat Islam di dunia.
Sikap biadap Amerika Syarikat menyambut kedatangan seorang Presiden Iran sebenarnya memberi boomerang effect kepada negara terbabit. Akhlak seorang hamba Allah Iran dinilai dunia dan sekali lagi Syawal yang mendatang akan menguntungkan Iran ketika konflik pelbagi isu terus memuncak.
MALAYSIA BAGAIMANA ?
Umat Islam di Malaysia terus selesa denga taraf dan kemakmuran yang diperolehi. Sedangkan jika dinilai dan diperhatikan betapa kemakmuran yang ada hari ini hanyalah secebia dari rasa kasih Allah kepada umatNya yang taat.
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللهِ
“Dan nikmat apapun yang kalian dapatkan adalah datang dari Allah.” (An-Nahl: 53)
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللهِ لاَ تُحْصُوْهَا
“Dan jika kalian menghitung nikmat Allah niscaya kalian tidak akan sanggup.” (An-Nahl: 18)
Insiden yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini amat perit untuk dinilai apatah lagi dihujah melalui perbincangan massa umum. Kes pembunuhan kejam Altantuya Shaaribu dan kematian tragis adik Nurin Jazlin terus menjadi sebahagian daripada renda-renda sejarah hitam negara. Turut menyedihkan ialah nahas Nuri yang berkekalan menjadi ‘medan tempur tanpa musuh’ yang mengorbankan saban anggota pertahanan negara.
Apakah insiden-insiden tragis ini hanya sekadar insiden atau ingatan Allah untuk umat?
Ketika Ramadhan sampai ke penghujung, khalayak umat sepatutnya menjadikan ini sebagai premis muhasabah diri yang terbaik. Jika umat mengambil insiden sebagai rakaman taubat kepada Allah, maka kita akan terus menjadi kelompok beruntung untuk sentiasa melakukan semak nilai kepada apa situasi sekalipun yang berlaku di dalam negara.
Realiti yang terselindung amat memilukan. Umat Islam terus hanyut dek serakah nafsu yang memandu diri. Malah dambaan nafsu ini dijadikan matlamat hidup sehingga lupa pada janji dan ingatan Allah SWT.
Dan pada (kisah) kaum Tsamud ketika dikatakan kepada mereka “Bersenang-senanglah kalian sampai suatu waktu.”
Maka mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir dan mereka melihatnya.
Maka mereka sekali-kali tidak dapat bangun dan tidak pula mendapat pertolongan,
dan (Kami membinasakan) kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.
Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa
Az-Zariyat:44-47
Kemenangan Syawal
Kemenangan Syawal ada notasi kepada keamanan sejagat juga kebahagiaan umat hidup bersama. Umat Islam akan mewajarkan pertolongan tanpa mengira batasan sempadan dengan akhlak mahu memberi sumbangan terbaik buat umat sedunia.Umat Malaysia wajar menjadikan Syawal untuk tarbiah diri dan masyarakat supaya iman yang dicari ditemui bukan nafsu serakah yang dibajai.
Pimpinan negara wajib meletakkan keimanan teras kepada kecemerlangan umat, tidak sekadar cogankata terbilang dengan rakyat terus bergelumang dengan dosa maksiat.